Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, dalam situasi Keadilan dilanda pergolakan ketika ini, penyertaan semula ahli parti itu ke dalam UMNO akan membolehkan mereka berjuang atas landasan politik sebenar.

``Saya sudah lama kenal Hamdan, dia memang suka bekerja untuk parti. Mungkin baginya, Keadilan tidak boleh memberi sumbangan ke arah itu.

``Oleh itu, saya akan menemui beliau tidak lama lagi untuk menawarkannya kembali ke dalam UMNO,'' .

Beliau mengulas keputusan Hamdan meletak jawatan Naib Ketua Pemuda Keadilan berkuat kuasa serta merta dengan alasan tidak mahu lagi bergiat dalam politik.

Hamdan turut melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Keadilan Perak dan Ketua Keadilan Bahagian Teluk Intan.

Bagaimanapun, bekas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Perak itu berkata, beliau masih lagi sebagai ahli Keadilan.

Menurut Abdul Aziz, beliau percaya Hamdan akan menimbangkan tawarannya menyertai semula UMNO.

Ini kerana berdasarkan pertemuan beliau dengan Hamdan beberapa kali dalam kempen-kempen pilihan raya kecil termasuk di Likas, Sabah sebelum ini, pemimpin sayap kanan Keadilan itu kelihatan masih menyayangi UMNO.